Khutbah Sempena Kemderdekaan: Siapakah penjajah?


اَلْحَمْدُ ِللهِ القائل :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 

أَشْهَدُ اَنْ لااِلهَ اِلاَّ الله  وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ. اما بعد, فيا عباد الله اِتَّقُوْا الله وَاُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.



Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan kebajikan dan meninggalkan segala larangannya. Mudahan dengan demikian itu, kita akan menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Sidang jumaat yang dihormati sekalian.


Marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kita kepada Allah SWT yang telah memberikan kepada kita, rakyat Malaysia nikmat kemerdekaan sejak 56 tahun yang lalu. Menerusi kemerdekaan ini, kita telah berjaya mencapai apa yang ada pada hari ini, yang mungkin lebih bernasib baik dari beberapa negara yang lain, dari sudut keamanan dan keselesaan hidup. Ke semua ini adalah hasil usaha ini yang telah digembelengkan oleh para ulama, para pejuang dan para pemimpin yang telah bertungkus lumus bukan sekadar menghabiskan harta mereka tetapi juga sanggup menggadaikan nyawa mereka, demi mewujudkan sebuah Negara yang berdaulat.
 
31 Ogos 1957 merupakan tarikh kemerdekaan negara kita. Ia merupakan tarikh keramat yang diraikan oleh kita semua di seluruh negara. Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka. Merdeka dari penjajahan dan penindasan. Merdeka dari dikawal oleh kuasa asing. Ini adalah negara dan tempat tumpah darah kita.

Sesungguhnya, kemerdekaan itu perlu dilihat sebagai satu ujian dan amanah dari Allah SWT yang dipertanggungjawab kepada kita supaya memeliharanya dengan baik. Allah akan mempersoalkan kepada kita di akhirat nanti, bagaimanakah kita memanfaaatkan nikmat kemerdekaan ini untuk mencari keredoan Allah SWT, berasaskan kepada perakuan yang disebut setiap kali solat ”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah”. Ini kerana dunia ini perlu dilihat sebagai medan ujian untuk manusia lantaran dunia ini hanyalah pinjaman, dan Allah akan melihat siapakah di kalangan hambanya yang berusaha menjadi hambaNya yang bertaqwa.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah.

Marilah sama-sama kita menghayati peristiwa Nabi Musa dan pengikutnya di kalangan Bani Isreal yang terselamat dari buruan Firaun dengan menyeberangi Laut Merah kerana lari dari penindasan dan kezaliman Firaun. Anak lelaki Bani Israel telah dibunuh manakala anak perempuan mereka dibiarkan sebagai mana yang diabadikan kisah ini di dalam al-Quran menerusi firman Allah:
 
وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنْجَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ , وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ .
 

Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu dari (Firaun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelalkimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cubaan yang besar dari Tuhanmu." Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Apabila membaca Kisah Nabi Musa ini, timbul persoalan di benak fikiran, siapakah sebenarnya penjajah? Mestikah penjajah itu merupakan suatu kuasa besar yang menakluki negara lain, manakala penduduk di negara yang ditakluk hanya perlu tunduk dengan kuasa besar berkenaan. Di dalam kisah ini, Firaun merupakan penduduk asal Mesir, manakala kaum Bani Israel adalah pendatang. Sikap Bani Israel yang berpuak-puak dan tidak mahu bekerjasama dengan penduduk tempatan menyebabkan mereka ditindas oleh Firaun. Allah mengingatkan Bani Israel nikmat kebebasan dari ancaman Firaun, apabila mereka diselamatkan dari buruan Firaun dengan menyeberangi Laut Merah. Sungguhpun Firaun adalah penduduk asal manakala Bani Israel merupakan kaum pendatang, tetapi Firaun tetap merupakan penjajah kerana ia mendoktrinkan rakyatnya agar menganggap dirinya sebagai tuhan dan tidak menyembah selain dari dirinya. 

Jika dibandingkan kisah ini dengan zaman kegemilangan umat Islam, apabila negara Islam berjaya mengembangkan empayar Islam hingga ke Eropah, tentera Islam telah berjaya membebaskan manusia dari pemerintahan yang menindas rakyat di bawah pemerintahan Rom dan Parsi. Sejarah telah membuktikan bahawa perluasan wilayah negara Islam dahulu berlaku dengan pantas disebabkan oleh Islam telah memperkenalkan sistem dan corak pemerintahan yang lebih adil. Di sini, orang Islam merupakan orang asing tetapi mereka berusaha meluaskan empayar Islam hingga ke Eropah dengan matlamat mengembangkan agama dan membawa sistem hidup yang lebih adil. Persoalannya, tidakkah mereka juga merupakan penjajah.

Apakah perbezaan antara kerajaan Firaun yang merupakan penduduk tempatan tetapi memerintah dengan cara yang zalim dengan kerajaan Islam yang menakluki negara asing tetapi memerintah dengan cara yang adil? Apakah parameter penjajahan di dalam Islam.
 

Sidang hadirin yang dirahmati Allah.

Kita merupakan makhluk Allah SWT yang ditugaskan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Kita juga merupakan khalifah Allah SWT yang menjunjung segala perintahNya. Mana-mana pihak yang memalingkan kita dari misi dan matlamat kehidupan ini mereka itu perlu ditentang kerana Allah hanyalah menerima Islam sebagai agama dan cara hidup. Allah telah berfirman:


Maksudnya: Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidup, maka ia tergolong di kalangan orang yang rugi. 

Sedarkah kita bahawa penjajah yang terbesar di dalam diri kita adalah hawa nafsu kita? Begitu juga, sedarkah kita bahawa penjajah kedua terbesar di dalam diri kita adalah Syaitan?

Betapa ramai orang yang dijajah oleh nafsunya, sehinga seluruh tindakan dan perilakunya mengikut kehendak nafsunya sehingga mengabaikan hak orang lain. Betapa ramai orang yang menjadi hamba nafsu, bukan lagi hamba Allah. Biarpun ia mempunyai kuasa ilmu dan akal, tetapi tidak mempunyai kuasa memilih. Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa diimbangi oleh akal dan ilmu. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Marilah sama-sama kita menjadikan Rasulullah sebagai ikutan yang merupakan seorang tokoh agung perjuangan pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.

Di saat terutusnya Baginda, umat manusia telah terlalu jauh dari hidayah para rasul terdahulu. Tetapi akhirnya, Baginda berjaya mengasaskan sebuah tamadun yang gilang gemilang berasaskan kepada agama Islam sehingga nikmatnya dapat kita kecapi pada hari ini. Rasulullah merupakan ikutan dan panduan kita dalam mengisi nikmat kemerdekaan agar ia membawa kepada kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah berfirman:
 
الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلاً وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Syaitan menjanjikan bagi kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu berbuat perkara keji sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaan, dan Allah Maha Luas Kurniaan lagi Maha Mengetahui

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيمٌ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن  وَالْمُؤْمِنَاتِ،  فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Khutbah Jumaat
Masjid UKM
30 Ogos 2013

Post a Comment

0 Comments