LAKSANAKAN ISLAM SEHINGGA DAPAT MEMBUKTIKAN ISLAM TERBAIK

JANGAN MENUNGGU BUKTI DAHULU, BARU NAK MELAKSANAKAN ISLAM

Ramai orang ingin melihat bukti terlebih dahulu sebelum boleh mempercayai. Namun, dalam Islam, Allah memberikan al-Quran sebagai panduan hidup yang terbaik untuk manusia. Allah meminta kita berusaha melaksanakan segala perintahnya dengan bersungguh, biarpun bukti kejayaannya belum ada lagi pada masa kini. Namun, Allah memberi jaminan bahawa Islam adalah cara hidup yang terbaik dan sekiranya dilaksanakan dengan sempurna, akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

Sebagai contoh, ketika mula diperkenalkan Bank Islam, ramai yang pada mulanya tidak mempercayai kemampuan sebuah bank Islam yang dibangunkan tanpa menggunakan sistem riba. Namun, hasil berkat usaha dan kesungguhan semua pihak, perbankan Islam telah berjaya dibangunkan bermula pada tahun 1995. Ia telah berkembang baik dari masa ke semasa sehinggalah pada masa kini bukan sahaja wujud Bank Islam, tetapi terdapat juga bank bernama seperti Hong Leong Bank dan Public Bank yang turut mengamalkan sistem perbankan Islam. Malahan, pada tahun 2014, Hong Leong Islamic Banking terima award bank Islam terbaik.

Ini bermakna, jangan menunggu bukti perbankan Islam itu bagus, baru nak menggunakannya, tetapi orang Islam perlu membuktikan perbankan Islam itu sistem yang terbaik untuk manusia. Walau pun masih ada kelemahan di sana sini, tetapi usaha perlu dilakukan. Kalau tidak dimulakan, bagaimana ingin melihat kejayaannya. 

1985: Perspepsi orang ramai - Mana boleh wujud Bank Islam tanpa riba
2014- Hong Leong Islamic Banking terima award bank Islam terbaik





Pada hakikatnya, Umat Islam kini berada dalam zaman dimana dunia Islam ingin bangun semula selepas kejatuhan kerajaan Turki Othmaniah pada 1924. Banyak perkara perlu dibangunkan dalam bentuk baru yang mungkin tiada pada zaman dahulu. Untuk itu, ia memerlukan kepada inovasi dan kreativiti para ilmuwan untuk menghasilkan aplikasi, produk, sistem dan pendekatan yang baharu. Ia memang mencabar kerana ia merupakan perkara yang baharu. Kelemahan memang tidak dapat dielakkan. Namun, usaha tetap perlu diteruskan kerana ia adalah tugas yang perlu dilaksanakan. 

Masalahnya, ramai yang tidak yakin dengan Islam sebagai cara hidup kerana masing-masing ingin melihat bukti terlebih dahulu. Sedangkan bagaimana bukti boleh dihasilkan sedangkan ia tidak dilaksanakan lagi atau belum lagi dilaksanakan dengan baik. Kalau begitu, sampai matilah tidak boleh melaksanakan Islam kerana menunggu bukti. Mungkin bagi orang bukan Islam memerlukan kepada bukti nyata, tetapi bagi orang Islam, tidak cukupkah dengan bukti al-Quran sebagai mukjizat?

Ramai teruja dengan perkembangan teknologi dan cara hidup barat yang bagi mereka pada masa ini telah pun membuktikan kejayaannya. Memang benar, psikologi manusia akan lebih yakin dengan perkara yang ada bukti berbanding dengan yang belum ada bukti. Inilah ujian pemikiran kepada orang Islam pada masa kini. 

Kita jangan lupa bahawa Dajjal lagi hebat dari itu. Dia akan berlagak sebagai tuhan dan ramai manusia terpedaya dengannya. Manakan tidak, dia boleh menurunkan hujan, menyuburkan tanah dan mengeringkan bumi. Ramai yang terpedaya dengan keupayaan dajjal membawa bukti secara terangan. Ramai yang menganggap ia sebagai tuhan. Itulah fitnah dajjal nanti. Walau pun kita nampak dajjal boleh berlagak seperti tuhan, tetapi ia bukan tuhan. Kita perlu yakin pada Allah kerana ia tuhan yang sebenar. Oleh sebab itu, kita perlu bekerja kuat untuk membuktikan kebenaran Islam dan menjadikannya sebagai cara hidup untuk manusia keseluruhannya. 

Sebagai contoh, kita perlu berusaha untuk melaksanakan hukum jenayah Islam (Hudud) kerana ia boleh menghalang manusia dari melakukan jenayah. Allah sebut secara jelas di dalam al-Quran. Kalau matlamat ini masih belum lagi dapat tercapai, masih ada lagi di sana kekurangan dalam pelaksanaan yang perlu diperbaiki untuk memastikan kejayaannya. 

#Ada orang berhujah, 
1- Negara Islam yang melaksanakan hukum hudud pun masih belum berjaya sekat jenayah. 
2- Negara barat lebih berkebajikan dari negara Islam.
3- Negara barat lebih rendah jenayah dari negara Islam.

Tugas kita ialah berusaha dengan cara yang terbaik untuk melaksanakan islam. Tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Janganlah kita pula yang menabur duri kepada usaha melaksanakan Islam kerana ia adalah sifat munafiq yang tidak senang dengan Islam.

Yakinlah pada cara hidup Islam kerana anda seorang Muslim. Buktikan Islam adalah agama yang terbaik. 

Dr. Muhamad Faisal

Post a Comment

0 Comments