MAKSUD JIHAD IALAH PERJUANGAN

Pengenalan 

Jihad merupakan perkara yang seringkali di salah ertikan sama ada secara sengaja atau tidak. Tulisan ini menjelaskan bahawa jihad membawa maksud perjuangan untuk menegakkan agama Allah menerusi cara-cara yang dibenarkan termasuk peperangan. Jihad perlu dilakukan menerusi etika yang tersendiri dan mempunyai keutamaannya. Walau bagaimanapun intipati kepada jihad itu ialah berusaha untuk menegakkan Islam sebagai cara hidup kerana orang Islam yakin bahawa Islam merupakan agama dan cara hidup yang terbaik. Oleh sebab itu, mereka berusaha untuk membuktikannya hasil daripada kefahaman mereka tentang akidah Islam yang berpaksikan kepada tauhid. Tauhid bermaksud esa iaitu satu dengan maksud hanya sanya Islam diterima sebagai cara hidup yang sempurna manakala yang lain itu ditolak. Hasil daripada kasihannya kepada keseluruhan manusia, mesej Islam perlu disampaikan kepada semua manusia yang dinamakan dengan dakwah. 

Membawa mesej dakwah iaitu mengajak manusia kepada kebaikan merupakan usaha yang murni tetapi tidak semua manusia menyukainya. Malah diri kita sendiri pun kadang-kadang / atau kerap juga enggan / malas untuk mengikuti perintah agama kerana usaha yang baik biasanya tidak digemari oleh nafsu dan ditambah pula dengan bisikan daripada syaitan. Oleh sebab itu, Islam memperkenalkan konsep jihad agar orang Islam terus komited memperjuangkan Islam meskipun ramai yang tidak suka dan dibenci. Tulisan ini akan menjelaskan tentang konsep jihad dari sudut bahasa dan istilah. 



Jihad dari sudut bahasa 

Menurut ahli bahasa arab, Perkataan Jihad diambil daripada perkataan جَهد yang membawa maksud kesusahan dan جُهد yang membawa maksud keupayaan. Ia membawa maksud menggemblengkan segala tenaga, usaha dan kekuatan sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan dalam melakukan sesuatu perkara yang tidak lepas daripada kesusahan dan kepayahan, tekanan dan keletihan. Untuk melaksanakannya memerlukan kepada usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh yang dinamakan dengan perjuangan, perlawanan, dan peperangan. Pengertian jihad dari sudut bahasa membawa pengertian yang sungguh luas kerana ia merangkumi segala usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh sama ada pada jalan kebaikan atau sebaliknya. Dari sudut bahasa ini, ia merangkumi orang Islam yang berjuang untuk agama Allah yang dinamakan dengan (al-Jihad fi Sabilillah) dan orang kafir yang  berjihad dan berjuang untuk menghancurkan Islam yang dinamakan dengan (al-Jihad fi Sabil al-Syaitan). 

Jihad menurut Syara’ 

Terdapat banyak ayat al-Quran yang membawa makna yang serupa antara Jihad dengan perang. Contohnya ayat di bawah 

وَإِذَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ أَنْ آمِنُوا بِاللَّهِ وَجَاهِدُوا مَعَ رَسُولِهِ اسْتَأْذَنَكَ أُوْلُوا الطَّوْلِ مِنْهُمْ  . 

Maksudnya : Apabila diturunkan surah yang menyuruh beriman dengan Allah dan berjihad bersama RasulNya, orang yang oportunis mula memberi pelbagai alasan. Surah al-Taubah : 86. 

مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْقَانِتِ بِآيَاتِ اللَّهِ لَا يَفْتُرُ مِنْ صِيَامٍ وَلَا صَلَاةٍ حَتَّى يَرْجِعَ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ تَعَالَى .

Maksudnya : Perumpamaan orang yang berjuang pada jalan Allah ialah seperti pahala orang yang berpuasa, bangun malam dan menghalusi ayat-ayat Allah; dia berterusan melakukan amalan yang yang demikian sehinggalah mujahid itu pulang dari medan perang. Muttafaq Alayh.

Perintah jihad yang dimaksudkan di dalam ayat dan hadis di atas ialah arahan peperangan. Oleh sebab itu, sungguhpun pada bahasa ia membawa maksud kesusahan dan kepayahan, tetapi Syara’ telah pun mengubah maknanya daripada makna kepayahan dan keupayaan kepada makna peperangan kerana dalam melaksanakan peperangan, memang usaha yang gigih diperlukan dan memang ia merupakan suatu yang susah. Begitu juga dengan solat yang pada asasnya ia bermakna doa tetapi syara’ telah pun mengubahnya kepada makna sembahyang kerana di dalam solat juga ada mengandungi makna doa. Para ulama Fiqh, Hadis, Tafsir, Sirah dan sebagainya apabila menyebut dalam kitab mereka perkataan al-”Jihad”, ke semuanya membawa maksud peperangan pada jalan Allah. 

Walau bagaimanapun, menghadkan makna jihad kepada makna peperangan sahaja akan menyebabkan skop jihad menjadi sempit sedangkan kefarduan jihad berkekalan hingga hari kiamat dan pelaksanaan jihad sahaja hanya akan dirasai oleh kepada mereka yang memiliki suasana peperangan mengangkat senjata sahaja. Adakah kefarduan Jihad sudah tiada apabila tiada lagi peperangan? Oleh sebab itu, apabila peperangan tidak dapat dilaksanakan maka perkataan jihad akan beralih kepada makna yang kedua iaitu segala usaha dan gemblengan tenaga yang bersungguh-sungguh semata-mata demi memartabatkan Islam. Ini kita dapat jelas daripada beberapa ayat al-Quran yang membawa kadangkala menggunakan perkataan jihad dan kadangkala qital yang membawa maksud peperangan. 

Contohnya ialah : 
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ
Maksudnya : Berperanglah pada jalan Allah mereka-mereka yang memerangi kamu. Surah al-Taubah: 192.

الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ
Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Surah al-Taubah: 189.

Ketika Allah inginkan perintah peperangan, perkataan qital (قَاتِلُوا) digunakan. Ketika perintah perjuangan secara umum sama ada secara peperangan atau bukan peperangan tetapi dengan syarat ingin memartabatkan Islam, perkataan Jihad (َجَاهَدُوا) telah digunakan. Menurut Usul Fiqh, sesuatu perkataan itu hendaklah digunakan mengikut maknanya yang asal iaitu (الحقيقة). Apabila makna yang asal ini tidak dapat digunakan, maka ia berpindah kepada (المجاز). Kedua-dua jenis ini wujud dalam semua bahasa termasuk bahasa Melayu. 




Al-Jihad fi sabilillah 

Perkataan في سبيل الله  telah disebut di dalam al-Quran lebih 60 kali manakala perkataan Jihad telah digandingkan dengan في سبيل الله  sebanyak 14 kali. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh al-Zakat, sungguhpun pada asasnya ia mempunyai makna yang umum iaitu semua ruang kebajikan dan ketaatan kepada Allah tetapi apabila digandingkan dengan jihad ia membawa maksud membantu agama Allah, memerangi musuhNya, meninggikan kalimahNya di atas muka bumi sehingga tiada lagi fitnah dan agama Allah tertegak di atas muka bumi. Ini bersesuaian dengan Sabda Rasulullah :  
مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya : Sesiapa yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang agung, maka ia tergolong dalam fi sabilillah. Muttafaq Alayh. 

مَنْ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : Sesiapa yang menyiapkan kudanya (kenderaannya) فِي سَبِيلِ اللَّهِ kerana beriman dengan Allah dan mempercayai janjiNya, maka makanannya, minumannya, tahi dan kencingnya semua akan berada dalam timbangan Allah pada hari Kiamat. Al-Bukhari. 

Salah faham tentang jihad 

1. Amalan lain yang lebih afdal daripada Jihad. 

Sesetengah pihak sering berhujah dengan beberapa hadis sahih yang menyebut bahawa sesetengah amalan seperti hormati ibu bapa dan solat pada waktunya yang lebih afdal daripada jihad. Walau bagaimanapun, harus difahami bahawa setiap amalan ada keutamaan mengikut individu dan suasana. Mungkin bagi sesetengah individu, hormati ibu bapa lebih afdal kerana baginya solat di awal waktu telah dilaksanakan dengan baik dan ia perlu memperbaiki sikapnya terhadap ibu bapanya. Bagi suasana lain, Rasulullah menjawab solat awal waktu lebih afdal daripada jihad (peperangan) kerana ketika itu tiada peperangan yang diwajibkan. Rasulullah memberi jawapan terhadap soalan tentang amalan yang paling afdal mengikut konteks orang yang bertanya dan juga suasana. Maka hadis yang menyebut tentang amalan yang paling afdal tidak boleh difahami secara mutlaknya kerana ia bergantung kepada individu dan suasana dan amalan-amalan ini perlu meraikan semua nas-nas yang lain. 

2. Jihad nafsu lebih afdal daripada jihad perang 
Sering juga orang berhujah dengan رجعنا من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر  (kita kembali daripada jihad yang kecil kepada jihad yang besar) dan seterusnya memperkecilkan perjuangan secara peperangan kerana beranggapan bahawa jihad peperangan itu hanya kecil sahaja di sisi Allah sedangkan jihad hawa nafsulah merupakan medan jihad yang sebenar. Penghujahan ini adalah salah kerana ia sebenarnya bukan hadis kerana ia merupakan kata-kata Ibrahim bin ‘Ablah dan menurut al-Hafiz al-Iraqi: Isnadnya lemah. Selain itu, terdapat banyak ayat al-Quran mahupun hadis sahih yang lain yang menjelaskan tentang kelebihan jihad secara peperangan. Walau bagaimanapun, الجهاد الأكبر  boleh dita’wilkan dengan maksud jihad yang berkekalan yang dihadapi oleh semua manusia. Kalau halangan yang pertama ini lulus, maka ia akan melakukan gerak kerja jihad yang seterusnya. 

3. Jihad hanya peperangan 
Terdapat juga mereka yang ekstrim yang hanya mendefinisikan jihad dengan hanya peperangan dan menolak pembahagian jihad kepada (الحقيقة) dan (المجاز).

4. Jihad tidak langsung dikaitkan dengan perang 
Kedapatan juga kecenderungan mentafsirkan jihad yang tidak dikaitkan terus dengan makna peperangan yang kononnya boleh membawa kepada pencalaran imej Islam yang kini sering dikaitkan dengan kegasanan. Mereka menganggap jihad hanya 
¥ Jihad ilmu kerana ayat yang pertama diturunkan bertemakan tentang ilmu. 
¥ Jihad ekonomi kerana melalui ekonomi dapat membawa imej positif kepada Islam. 
¥ Jihad menghapuskan kemiskinan 
Ini merupakan pendekatan mereka yang lemah jiwanya dan mahu melompangkan roh jihad daripada Islam. Mereka tunduk dengan tekanan barat yang memang mahu melupuskan makna jihad (perang) daripada Islam. 

Kaitan Jihad dengan amar makruf dan nahi mungkar 

Amar makruf dan nahi mungkar merupakan perintah Allah yang merupakan ciri penting kepada umat ini (Ali Imran: 110) dan kegagalan ummah terdahulu melaksanakan perintah ini mengundang kepada bala dan laknat daripada Allah. (al-Maidah: 178). Amar makruf dan nahi mungkar merupakan perincian kepada perintah jihad mengikut makna yang kedua iaitu mengembleng usaha dan tenaga untuk meningkatkan ketinggian agama Allah. Ini kerana dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar gemblengan tenaga yang kuat diperlukan apatah lagi dalam melaksanakan nahi mungkar. Kepayahan dan kesusahan dalam melaksanakan perintah ini merupakan jihad. Tatkala kemungkaran sedang melata dan makruf semakin ditinggalkan, maka menjadi tanggung jawab semua orang Islam melaksanakannya. Sungguhpun difahami melaksanakan tugas ini mempunyai tingkatannya sendiri seperti fardu ain, fardu kifayah dan sunat, tetapi secara amnya ia merupakan suatu tuntutan di dalam Islam. 

Dr. Al-Qaradawi menegaskan di dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah, bahawa menyusun gerakan amar makruf dan nahi mungkar secara lebih tersusun dan dalam bentuk persatuan atau parti politik lebih efisyen apatah lagi ketika berhadapan dengan pemerintah dan penguasa yang zalim. Suara kebenaran yang ditegakkan secara kolektif lebih kuat dan lebih berupaya dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebenaran terutamanya apabila mereka mendapat kuasa melalui kemenangan di dalam pilihanraya. 

Penutup 

Jihad adalah pendekatan yang Allah perkenalkan kepada orang Islam agar terus gigih memperjuangan agamaNya yang pastinya akan mendapat cabaran dan tentang daripada nafsu, syaitan dan musuh-musuh Islam. 


Post a Comment

0 Comments