Krisis dalam membuat pilihan - bah 1

Teknologi dan kemajuan yang wujud pada hari ini telah menawarkan kepada manusia pelbagai bentuk pilihan yang melekakan dan membingungkan manusia. Keragaman dan kepelbagaian bentuk ini dapat dilihat daripada jenis dan warna pakaian, jenis makanan, bentuk tempat tinggal dan sebagainya. Mungkin pada 50 tahun dahulu ketika kemajuan tidak menjengah lagi, pilihan yang ada mungkin tidak sebanyak dengan yang ada pada hari ini. Dengan globalisasi dan kehidupan manusia yang beralih kepada hidup dalam jaringan, apa yang diinginkan boleh berada di hadapan mata dalam beberapa ketika lantaran kemudahan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini.

Sebagai contoh: kita mudah mendapati di sebuah kedai makan yang menghidangkan budu, cincalok, tempoyak dan air asam di mana pada suatu ketika dahulu, makanan cincalok atau budu hanya dimakan dan dihidangkan di dalam kelompok masyarakat tertentu sahaja.

Kini segala-galanya telah berubah. Manusia mempunyai pilihan yang amat pelbagai pada hari ini sehingga mereka sibuk dan leka dalam membuat pilihan dan juga sibuk mencari wang untuk mempunyai keselesaan nanti untuk membuat pilihan.

Kesemua ini merupakan ujian kepada manusia, apatah lagi kepada mereka yang senang dan kaya. Kuasa membuat pilihan itu tinggi dan mereka boleh membuat keputusan berdasarkan kepada keinginan mereka. Kerap kali juga manusia silap membuat keputusan dan kerap juga manusia membuat double standard dalam membuat pilihan.

Persoalannya, adakah manusia membuat pilihan dan keputusan itu berdasarkan kepada agama atau kepada adat melayu? (oleh kerana ia orang melayu). Atau adakah keputusan itu berdasarkan kepada akal dan nafsunya semata-mata manakala persamaan dengan adat dan agama itu hanya secara kebetulan sahaja.

Seringkali pilihan dan keputusan yang dibuat berdasarkan kepada hawa nafsu sahaja dan seringkali pilihan dibuat tidak menguntungkan Islam. Mereka double standard, malah triple standard dengan Allah. Contoh: Nak pergi solat, pakai baju yang lusuh atau pakai baju melayu yang tidak cukup butang tetapi bila pergi pejabat, bukan main lagi penampilannya.

Berdasarkan kepada ayat al-Quran, manusia mempunyai beberapa sifat semula jadi yang Allah ciptakan sebagai ujian kepada manusia. Manusia menggunakan sifat semula jadi ini sebagai criteria di dalam membuat pilihan dan keputusan di dalam hidupnya. Sejauh mana manusia mengawal sifat semula jadi ini, maka sejauh itulah manusia akan berjaya di dalam hidupnya.

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (٧)فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (٨)قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (٩)وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Maksudnya; Berjayalah mereka yang menyucikan dirinya dan rugilah mereka yang mengotorkannya.



Bersambung …


Post a Comment

0 Comments